"Kindness in words creates confidence. Kindness in thinking creates profoundness. Kindness in giving creates love."

07 January 2010

Bercerita tentang "Rejimen" - Angkatan Tentera Malaysia



Bercakap atau bersembang tentang tugas atau bidang kerja seorang tentera adalah sangat luas skopnya.kalau orang awam memang pening gak la nak paham..so,kat sini ada sikit info utk dikongsi bersama..

Didalam Tentera Darat Malaysia,terdapat beberapa unit/pasukan,dan dibahagikan mengikut rejimen-rejimen tertentu..Antaranya ialah :

Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) adalah rejimen tertua dalam Tentera Darat Malaysia. Rejimen Askar Melayu DiRaja bersama-sama dengan Rejimen Renjer Diraja merupakan pasukan tempur infantri di dalam Tentera Darat Malaysia. Rejimen Askar Melayu Diraja merupakan pasukan terunggul di dalam Angkatan Tentera Malaysia. Pada kemuncaknya, pasukan ini mempunyai kekuatan sebanyak 27 batalion. Rejimen Askar Melayu Diraja kini mempunyai kekuatan 25 batalion.

Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) telah ditubuhkan pada 1 Mac 1933. RAMD memngandungi 25 batalion yang mana dua batalion sebagai Batalion Para, dua batalion sebagai Battalion Mekanis, satu Batalion Istiadat dan selebihnya adalah Batalion Infantri Standard. RAMD juga merupakan kor yang tertua dan terbesar di dalam Tentera Darat Malaysia.



Menuju cabaran di alaf baru, Kor Infantri telah disusun semula menjadikan ia sebuah ketumbukan yang mantap dan berkeupayaan tinggi dalam melaksanakan setiap tugas. 3 elemen utama iaitu Infantri Standard, Infantri Mekanis dan Elit Para akan menjadi teras kepada infantri. Satu batalion akan dikhususkan sebagai Batalion Istiadat. Batalian Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang ditubuhkan pada 1 Jan 1938 telah diubah dari peranan sebagai pasukan infantri biasa kepada batalian infantri istiadat mulai 1 Jan 1989.

Di atas kecemerlangan yang telah ditunjukkan serta pencapaian mutu yang tinggi, pasukan ini telah diberi kepercayaan dalam kawalan kehormatan utama setiap kali lawatan pembesar-pembesar luar negara. Dalam melaksanakan tugas-tugas dalam operasi dan membantu pihak berkuasa awam semasa aman, pasukan infantri baisa telah disusun semula dari segi keanggotaan dan material kepada Batalion Infantri Standard. Dengan latihan yang intensif dalam semua bentuk cabaran samada konvensional mahupun perperangan insurgensi, batalion ini dilatih supaya siap siaga bagi menghadapi ancaman musuh-musuh negara. Dasar pertahanan negara di abad ke 21 memerlukan ketumbukan Tentera Darat yang mampu diaturgerakkan dalam semua keadaan dengan cekap dan pantas. Justeru, pasukan Infantri Para telah ditubuhkan bagi memenuhi keperluan ini.

Sebagai kor yang tertua di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kor Infantri mempunyai rentetan sejarahnya yang tersendiri. Pada tanggal 1 Mac 1933 bertempat di Port Dickson, Negeri Sembilan, seramai 25 anak watan memulakan latihan rekrut dalam Kompeni Percubaan Askar Melayu yang mana menjadi pengasas terbentuknya Tentera Darat Malaysia sekarang. Di antara yang memainkan peranan utama dalam penubuhan rejimen ini adalah Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhamad Ibni Yam Tuan Antah, Undang Luak Rembau Negeri Sembilan, Dato’ Abdullah bin Dahan, Sultan Perak, Sultan Alang Iskandar Shah dan Raja Di Hilir Perak, Raja Sir Chulan. Dengan berbekalkan semangat keperwiraan, latihan yang intensif serta perancangan yang menyeluruh, skuad ini telah berkembang dengan pesat bagi memenuhi keperluan semasa negara.

Dalam mempertahankan maruah bangsa melayu dan membuktikan keperwiraan anak-anak watan, 2 buah batalion Rejimen Askar Melayu Diraja telah terlibat di dalam Perang Dunia II. Antara pertempuran yang menjadi ingatan dan kebanggaan Kor Infantri adalah Pertempuran Muar. Di dalam pertempuran ini, Lt Ibrahim Al-Dita selaku ketua platun telah membuktikan keberaniannya. Beliau telah dianugerahkan Military Cross bersama dua lagi rakannya iaitu Lt Ismail Babu dan Kpl Yaakob Bidin. Pertempuran Bukit Chandu pada 14 Feb 1942 yang begitu sengit merupakan satu titik tanda sejarah yang membuktikan keperwiraan dan keberanian askar Melayu. Dalam pertempuran ini, Leftenan Adnan Bin Saidi telah sanggup bertahan sehingga ke titisan darah yang terahkir. Beliau telah berjaya membunuh ramai tentera musuh namun ditikam sehingga mati kerana enggan menyerah kalah kepada tentera Jepun.

Ketika ini, 2 batalion RAMD dikhususkan sebagai pasukan payung terjun (Para) ditugaskan menjadi komponen di dalam 10 Briged Para, asas Pasukan Atur Cepat di dalam Angkatan Tentera Malaysia. Dua lagi batalion Rejimen Askar Melayu Diraja dilengkapkan menjadi batalion mekanis dan menbentuk komponen 4 Briged Mekanis di dalam Tentera Darat Malaysia.

Rejimen Renjer Diraja (RRD) Pasukan ini terkenal dengan cogan kata Agi Hidup Agi Ngalaban ataupun Selagi Hidup Selagi Melawan. Bersama dengan Rejimen Askar Melayu Diraja dan Kor Armor Diraja, Rejimen Renjer Diraja merupakan elemen tempur Tentera Darat Malaysia. Walaupun usianya sebagai rejimen dalam Tentera Darat Malaysia adalah lebih muda daripada Rejimen Askar Melayu Diraja, Rejimen Renjer Diraja bersama memikul beban sebagai pasukan barisan hadapan pertahanan negara.

Rejimen Renjer Diraja (RRD) adalah salah satu daripada Kor Infantri yang telah ditubuhkan pada 16 Mac 1963. RRD memngandungi 9 batalion yang mana satu batalion sebagai batalion para, satu batalion sebagai battalion mekanis, dan selebihnya adalah batalion infantri standard. RRD juga merupakan kor yang kedua terbesar di dalam Tentera Darat Malaysia selepas RAMD. Perbezaannya dengan RAMD adalah keanggotaan RRD terdiri daripada berbagai kaum dan agama di Malaysia.

Menuju cabaran di alaf baru, Kor Infantri telah disusun semula menjadikan ia sebuah ketumbukan yang mantap dan berkeupayaan tinggi dalam melaksanakan setiap tugas. 3 elemen utama iaitu Infantri Standard, Infantri Mekanis dan Infantri Para akan menjadi teras kepada infantri. Dalam melaksanakan tugas-tugas dalam operasi dan membantu pihak berkuasa awam semasa aman, pasukan infantri baisa telah disusun semula dari segi keanggotaan dan material kepada Batalion Infantri Standard. Dengan latihan yang intensif dalam semua bentuk cabaran samada konvensional mahupun perperangan insurgensi, batalion ini dilatih supaya siap siaga bagi menghadapi ancaman musuh-musuh negara. Dasar pertahanan negara di abad ke 21 memerlukan ketumbukan Tentera Darat yang mampu diaturgerakkan dalam semua keadaan dengan cekap dan pantas. Justeru, pasukan Infantri Para telah ditubuhkan bagi memenuhi keperluan ini.

Ia adalah rejimen yang kedua besarnya dalam Tentera Darat. Rejimen ini adalah satu rejimen yang unik di mana dianggotai berbagai kaum dan agama. Selain berketurunan Melayu, Cina, India dan Sikh, Rejimen Renjer Diraja juga dianggotai oleh anggota terdiri dari rakyat bumiputera dari Sabah dan Sarawak serta Orang Asli serta terdapat juga bangsa Gurkha (yang menjadi warganegara Malaysia, bukannya penduduk tetap) turut berkhidmat dalam rejimen ini. Kehadiran kaum bumiputera memberi identiti tersendiri bagi Rejimen Renjer DiRaja dan menjadikan ianya kaya dengan pelbagai kebudayaan yang tidak terdapat dalam rejimen-rejimen lain.

Kor Armor Diraja bermula dengan tertubuhnya Skuadron Kereta Perisai Persekutuan pada 1 September 1952. Skuadron ini telah diperbesarkan kepada Rejimen Kereta Perisai Persekutuan dalam tahun 1957. Dalam tahun 1960, Rejimen Kereta Perisai Persekutuan telah dicantumkan dengan Rejimen Persekutuan, sebuah batalion infanteri. Percantuman ini melahirkan Kor Peninjau yang telah dikurniakan gelaran Diraja pada 20 Mei 1972. Pada 22 Disember 1979 Kor Peninjau Diraja telah ditukarkan nama menjadi Kor Kavalri Diraja. Tugas kor ini ialah menjalankan operasi secara "serangan" dan "pertahanan" dengan sentiasa menyediakan bantuan perisai kepada Tentera Darat. Cogankata Kor Armor Diraja ialah Bersatu.

Kor Armour Diraja (KAD) adalah salah satu kor tempur di dalam Tentera Darat Malaysia. Kor Armor Diraja, ataupun lebih dikenali sebagai Armor dilengkapkan pengangkut anggota berperisai (Armoured Personnel Carrier), kenderaan tempur infantri (Infantry Fighting Vehicle), kenderaan tempur berperisai (Armoured Combat Vehicle) dan juga dengan kereta kebal.

Rejimen Semboyan Diraja (RSD) adalah sebuah rejimen Bantuan Tempur di dalam Tentera Darat Malaysia. Tugas utama RSD ialah menyedia dan menyelenggarakan komunikasi untuk perintah dan kawalan Tentera Darat. Di samping itu, RSD juga terlibat di dalam menyediakan bantuan Peperangan Elektronik kepada Tentera Darat.

RSD bertanggungjawab meyedia dan mengekalkan semua saluran komunikasi diantara markas-markas formasi hingga ke pasukan di peringkat taktikal Tentera Darat Malaysia. RSD juga bertanggungjawab menguruskan semua aspek perlaksanaan peperangan elektronik dan sistem amaran awal untuk Tentera Darat Malaysia.

Sejarah Rejimen Semboyan Diraja bermula apabila tertubuhnya Communications Troop di Pusat Latihan Askar Melayu Diraja pada tahun 1949 di Port Dickson, Negeri Sembilan. Terup tersebut telah dianggotai oleh jururadio dari Platun Semboyan Batalion Pertama, Kedua dan Ketiga Rejimen Askar Melayu Diraja.



Pada awal tahun 1952, 'Communication Troop' ini telah dinaik taraf ke skuadron dan dikenali sebagai Federation Signals Squadron. Bermula dari tarikh itu secara rasminya Skuadron tersebut telah diberi tugas dan tanggungjawab khusus untuk menyediakan komunikasi kepada semua pasukan Rejimen Askar Melayu Diraja.

Seiring dengan penubuhan Federation Army Brigade pada tahun 1952, Federation Brigade Siqnal Squadron juga telah ditubuhkan bagi menyokong bantuan komunikasi antara markas Federation Army Brigade ke pasukan-pasukan di bawahnya. Ia kemudiannya dikenali sebagai Malaysian Signal Regiment. Rejimen Semboyan juga telah mengiktiraf tanggal 15 November 1952 sebagai tarikh penubuhan Federation Signals dan sehingga sekarang tarikh tersebut secara rasmi dikenang sebagai tarikh penubuhan Rejimen Semboyan Diraja.

Sejajar dengan jasanya dalam pelaksanaan peranan dan tugas yang disandang dalam pemodenan komunikasi Tentera Darat, disamping keterampilan kesetiaan yang tidak berbelah bagi terhadap Raja dan Negara, Rejimen Semboyan Malaysia telah dianugerahkan gelaran 'Diraja' oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong pada 6 Jun 1992. Kor tersebut kini dikenali sebagai Rejimen Semboyan Diraja.

Kor Pasukan Elit (KPE)
Tentera Darat Malaysia mempunyai 2 unit dalam Kor Pasukan Elitnya iaitu 10 Briged Para dan Grup Gerak Khas.

10 Briged Para

10 Briged Para merupakan sebuah pasukan elit Tentera Darat Malaysia yang terdiri pelbagai cabang kor ATM yang berpengkalan di Kem Terendak, Sungai Udang, Melaka dan sebahagian daripada elemen utama Pasukan Aturgerak Cepat (PAC) Angkatan Tentera Malaysia dalam menangani keganasan dan ancaman pihak musuh dengan menggunakan jumlah keanggotaan yang ramai. Cogankata 10 Briged Para adalah Tindak Pantas.

Antara pasukan yang membentuk 10 Briged Para adalah;

Batalion ke-9 Rejimen Askar Melayu Diraja
Batalion ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja
Batalion Ke-8 Rejimen Renjer Diraja
Batalion Pertama Rejimen Artileri Diraja

Rejimen Gerak Khas (RGK)

Group Gerak Khas merupakan entiti utama pasukan elit TDM yang paling digeruni. Ditubuhkan pada 1 Ogos 1965 di Kem Majidee, Johor Bharu. Rejimen pada mulanya dikenali sebagai Malaysian Special Service Group (MSSG), dan dalam tahun 1969 telah diperbesarkan menjadi satu Rejimen yang dikenali dengan nama Rejimen Pertama Gerak Khas Malaysia (1 RGKM).

Tugas Rejimen Gerak Khas ini ialah menjalankan operasi tertentu secara bebas melalui darat, laut dan udara. Cogankata Rejimen Gerak Khas adalah Cepat Dan Cergas. GGK pernah terlibat dalam beberapa siri operasi berprofil tinggi termasuklah operasi menyelamat pasukan Delta Force dan Renjer Amerika Syarikat yang terperangkap dalam pertempuran di Pasar Bakhara, Moghadishu, Somalia yang mengakibatkan 2 anggota GGK terkorban dalam operasi yang digandingkan bersama Rejimen Askar Melayu Diraja dan tentera Pakistan. RAMD juga turut kehilangan seorang anggotanya dalam operasi tersebut.

Mengadakan Skuadron mencari, melapor, mengharu dan menghancur musuh dengan penyusupan jarak jauh dan di samping itu bekerja rapat dengan pasukan gerila.
Melaksanakan operasi ofensif secara bebas yang memerlukan kepakaran melalui laut, darat dan udara di dalam kawasan yanng dikuasai oleh musuh dan juga mendapatkan maklumat.

Kor Perkhidmatan Am (KPA) diwujudkan dalam tahun 1954 dengan nama The Federation General Service Corps. Bahagian-bahagiannya ketika itu ialah Pejabat-pejabat Rekod, Gaji, Perubatan, Pelajaran dan Perisikan. Nama pasukan Perkhidmatan Am dikuatkuasakan pada 1 Julai 1958. Bahagian-bahagian Perubatan dan Perisikan kemudian berpisah dan menubuh kor yang berasingan.

Pasukan Perkhidmatan Am dengan rasminya menjadi Kor Perkhidmatan Am pada 1 Mei 1972. Kor ini bertanggungjawab sepenuhnya ke atas urusan khidmat dari segi Urusan Gaji, Pekeranian, Pelajaran dan Perhubungan Raya kepada Angkatan Tentera Malaysia. Cogankata Kor Perkhidmatan Am ialah Berbakti

Kor Risik Diraja telah ditubuhkan secara rasminya pada 7 November 1969 dan dianugerahkan gelaran 'Diraja' pada 7 Jun 1997 oleh SPB Yang DiPertuan Agong ke X Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman.

Organisasi KRD diketuai oleh Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan (KPPP) merangkap Pengerusi KRD dan terbahagi kepada penempatan seperti berikut:

Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP).
92 Anggota Tentera Cawangan Khas (ATCK).
91 Rejimen Khas Perisikan Tempur (RKPT).
Cawangan Perisikan.
Jabatan Arah Risik.
Pusat Latihan Perisikan (PULARIS).

Kesemua penempatan ini mempunyai tugas dan peranan yang berbeza tetapi secara ringkasnya KRD berperanan untuk merancang dan melaksanakan usaha-usaha dari segi mengumpul, menilai dan menyebar perisikan taktikal yang berkaitan dengan kepentingan Tentera Darat khasnya dan Angkatan Tentera Malaysia amnya

Kor Risik Diraja (KRD) ditubuhkan secara rasminya pada 7 November 1969 bagi menghadapi ancaman Parti Komunis Malaya yang melancarkan dasar ketenteraan dan merancang pemberontakan bersenjata mulai 1949.

Pada tahun 53, pentadbiran Inggeris mulai sedar tentang keperluan perisikan bagi membantu pasukan keselamatan dalam usaha membanteras perjuangan bersenjata PKM. Serentak dengan itu, seorang anak watan Pbt Hashim bin HJ Rauf telah diserap dan ditugaskan di HQ 355 Field Security Section (FSS) iaitu British Military Intelligence yang diketuai oleh LtM E.A Atkinson. Potensinya yang baik meyakinkan pihak Inggeris dan seterusnya menggalakkan mereka terus merekrut lebih ramai anak tempatan. Sekumpulan Pegawai Tanpa Tauliah (PTT) dari Rejimen Askar Melayu, Rejimen Kereta Perisai Persekutuan dan Jurutera Persekutuan telah ditumpangkan ke HQ 355 FSS untuk dilatih dalam seksyen perisikan.

Apabila negara merdeka HQ 355 FSS disusun semula dan dikenali sebagai Federation Field Security Section (FFSS) dan diletakkan dibawah Markas Tentera Persekutuan (HQ Malaya Command), Kuala Lumpur. Seramai 14 orang Junior Civil Liaison Officer yang bertugas dengan cawangan khas Polis Persekutuan Tanah Melayu dipanggil oleh pihak Inggeris bagi melaksanakan kerja perisikan di medan.

Pada November 63, Bahagian Gerakan, Rancang dan Perisikan telah diambil alih oleh pegawai tempatan dan Cawangan Rancang dan Perisikan telah ditukar kepada Jabatanarah Perisikan Bersama pada Mac 1965. Awal tahun 66, tiga pertubuhan unit perisikan yang berfungsi tanpa pemerintahan dan kawalan dari mana-mana organisasi telah ditubuhkan yang terdiri daripada Penasihat Pertahanan Tentera, Anggota Tentera Cawangan Khas (ATCK) dan Jawatankuasa Sempadan.

Semua organisasi unit perisikan dalam angkatan tentera telah disatukan di dalam satu kor pada tahun 1969 dan semenjak penubuhannya Kor Risik amat disegani atas kemampuan dan kebolehannya sebagai sumber perisikan kepada pertahanan negara dan pencerobohan kegiatan subversif pihak musuh terutamanya di era penentangan pengganas komunis.

Kor Perkhidmatan Diraja (KPD) berasal dengan penubuhan Cawangan Bekal dan Angkut dalam bulan April 1957 sebagai satu bahagian dalam Army Service Corps (ASC). ASC telah ditukarkan nama kepada Armed Forces Maintainance Corps (AFMC) selaras dengan tugasnya memberi bantuan logistik kepada semua Perkhidmatan Angkatan Tentera. Pada 9 April 1965 AFMC telah dibubarkan dan Pasukan Bekal dan Angkut Tentera telah ditubuhkan. Pasukan ini kemudian dikenali dengan nama Kor Perkhidmatan Diraja dan bercogankata Berkidmat Kepada Semua. Ditugaskan sebagai pasukan logistik Tentera Darat seperti Workshop dan kompeni angkut, kecuali senjata dan bekalan asas. Setiap briged terdapat satu kompeni angkut dan workshop briged. Manakala di dalam satu ketumbukan divisyen pula terdapat satu batalion angkut dan empat kompeni di dalamnya. Ini termasuklah seperti kompeni angkut itu sendiri, kompeni hantaran udara, kompeni bekalan dan kompeni markas. Di peringkat batalion ini ia diketuai oleh Leftenan Kolonel. Dan disetiap kompeni diketuai oleh pegawai berpangkat Mejar atau Kapten yang bertauliah.

KPD memberi bantuan kenderaan di barisan hadapan seperti trak 3 tan (bawa anggota, peralatan dll),drops (kontena 20 kaki), bowser minyak dan air,Tank Transporter, Mobile Fuel Dispensing System (CFT) kor ini juga memberi perkhidmatan dari segi bantuan lojistik seperti kargo perkapalan, penginapan (transit), penerbangan (MAS, Air Asia)dan sebagainya.



Rejimen Askar wataniah merupakan Rejimen yang di tugaskan sebagai barisan kedua dalam mempertahankan kedudukan negara dari sebarang ancaman musuh negara. Rejimen ini di latih sepenuhnya oleh angkatan tentera malaysia yang bertugas sebagai anggota tetap. Segala bentuk latihan yang di berikan adalah berdasarkan pada latihan yang di berikan kepada anggota tetap.


Askar Wataniah Malaysia (AW) adalah badan sukarela yang berlainan daripada badan-badan sukarela yang lain. AW merupakan Angkatan Simpanan Tentera Darat Malaysia sebagai benteng kedua dalam mempertahankan negara kita yang tercinta. Penyertaan rakyat dalam AW merupakan satu sumbangan murni bagi menyahut seruan pertiwi sesuai dengan konsep HANRUH (Pertahanan Menyeluruh) yang ditetapkan dalam Dasar Pertahanan Negara. Sebagai sebuah negara yang pesat membangun dan berwawasan, penglibatan rakyat dan semua pihak adalah amat perlu bagi memainkan peranan dalam pembangunan serta pertahanan negara.HANRUH antaranya menetapkan bantuan nasional termasuk penggemblengan semua sumber negara di samping penglibatan Angkatan Tentera Malaysia.

Penyertaan rakyat dalam Angkatan Sukarela di Semenanjung Malaysia bermula semenjak 1902 lagi apabila Kerajaan Inggeris menubuhkan Pasukan Sukarela di Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang dipanggil Federated Malay States Volunteer Force (FMSVF), Pasukan Sukarela di Negeri Melayu Tidak Bersekutu pula dipanggil Unfederated Malay States Volunteer Force (UNFMSVF) dan di Negeri-Negeri Selat pula ialah The Straits Settlement Volunteer Force (SSVF).

Pasukan-pasukan Sukarela telah memainkan peranan yang begitu penting terutamanya semasa dalam Peperangan Dunia Kedua, darurat 1948-1960 dan konfrontasi. Semasa darurat ia dikenali sebagai 'Home Guard'. Pasukan ini telah disusun semula sebagai Pasukan Pertahanan Tempatan pada 1 Jun 1958 dan seterusnya dikenali sebagai Askar Wataniah Malaysia.

Banyak lagi rejimen-rejimen yang saya tak senaraikan.sebab saya pon dh pening,heheehe..Kalau saya rajin,nnt sy update lg ya..

No comments:

Post a Comment